Benarkah zakat pendapatan tiada dalil?

Dalam kaedah fikah, sesuatu ibadah itu apabila mahu dilaksanakan ia terlebih dahulu mesti mempunyai dalil. 


Zakat pendapatan tiada dalil?


Zakat pendapatan merupakan perkara khilafiyah (berbeza pendapat), maka peranan fatwa sangat penting untuk menyatukan perbezaan berkenaan. Apabila ia diputuskan wajib, maka sewajarnya keputusan itu menutup segala pintu perbezaan. Ini kerana sebelum fatwa dikeluarkan banyak aspek diambil kira termasuk pandangan fuqaha muktabar mazhab utama, fuqaha kontemporari, aspek maslahah dan keperluan lain yang mendesak.

Sewajarnya semua pihak tidak memberikan pandangan yang menolak fatwa atau mencabar fatwa. Jika fatwa tidak dihormati, maka ia mencetuskan polemik dan kerisauan dalam masyarakat. Menghormati fatwa juga merupakan adab dalam berikhtilaf (berbeza pendapat) yang harus difahami, khususnya dalam kalangan asatizah dan agamawan. Jika tidak bersetuju dengan sesebuah fatwa, ada kaedah tertentu untuk memberikan pandangan, bukan dengan cara tidak sopan dan melanggar adab.

BENARKAH TIADA DALIL DALAM PELAKSANAANNYA?


Bagi orang yang faham, mereka akan menolak pandangan seperti ini. Dalam kaedah fikah, sesuatu ibadah itu apabila mahu dilaksanakan ia terlebih dahulu mesti mempunyai dalil. Kaedah fikah menyatakan: “al-aslu fil ‘ibaadati at-tahrim”, iaitu asal suatu ibadah itu adalah terhalang, sehinggalah ada dalil yang membolehkannya.

Oleh itu menyatakan pelaksanaan zakat pendapatan tanpa dalil adalah sangat tidak betul. Sebenarnya, terdapat banyak dalil yang boleh dijadikan sandaran dan hujah. Mari kita telusuri antara dalil-dalil berkenaan:

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, infaklah (keluarkan zakat) sebahagian daripada hasil usaha kamu (ma kasabtum) yang baik-baik dan sebahagian daripada apa-apa yang Kami keluarkan daripada bumi untuk kamu.” (al-Baqarah, 2: 267)

Fuqaha menyatakan, penggunaan kalimah ‘ma kasabtum’ (daripada hasil usaha kamu) adalah jelas menunjukkan kepada elemen pekerjaan. Apabila bekerja, akan ada harta dan ia disebut sebagai ‘pendapatan’. Maka, sesuai dengan perintah Allah SWT di dalam ayat di atas, ia hendaklah diinfakkan sebagai zakat.

Rasulullah SAW bersabda: “Menjadi sesuatu kewajipan atas setiap Muslim bersedekah (berzakat)”. Sahabat-sahabat bertanya, “Wahai Rasullullah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?”. Baginda menjawab, “Bekerja untuk mendapat sesuatu untuk dirinya lalu bersedekah.” - Riwayat Imam Bukhari.

Daripada hadis itu jelas nabi menyuruh sahabatnya bekerja agar mereka dapat memberikan sedekah. Mungkin ada mempertikaikan kalimah yang digunakan nabi adalah ‘sedekah’ dan bukannya ‘zakat’, maka ia tidak boleh diindikasikan sebagai zakat. Benarkah demikian?

Jawapannya, kita mesti memahami makna ‘sedekah’ dalam terminologi al-Quran dan hadis. Sedekah ada kalanya membawa maksud sedekah sunat dan wajib (zakat). Banyak kali Allah SWT menggunakan kalimah ‘sadaqah’ tetapi maknanya merujuk kepada zakat, misalnya pada ayat 60 dan 103 surah at-Taubah, yang jelas merujuk kepada zakat.

Sabda baginda SAW lagi: “Tidak wajib zakat pada mata wang (perak) yang kurang dari lima uqiah.” - Riwayat Bukhari.

Dari mana datangnya mata wang perak (dirham) itu, jika bukan melalui jalan pekerjaan atau perolehan daripada sesuatu sumber. Ia adalah melalui jalan pekerjaan.

Zaman nabi setiap pekerjaan dibayar upahnya dengan dinar dan dirham, pada masa kini menggunakan Ringgit Malaysia (RM), betul atau salah? Nabi SAW mewajibkan zakat atas dinar dan dirham, maka zaman sekarang orang bekerja mendapat RM maka diwajibkan zakat atas RM, sama atau tidak?

Seandainya kita berfikir dengan minda yang jernih, adalah jelas bahawa pelaksanaan zakat pendapatan mempunyai banyak dalil dan hujah. Namun cukuplah bagi kita untuk mengetahui, bahawa para Khulafa’ ar-Rasyidin sendiri memilih melaksanakan zakat pendapatan ini semasa mereka memerintah. Ia bukanlah benda baharu.

Kesimpulannya, perlaksanaan zakat pendapatan hakikatnya memberikan lebih banyak kebaikan daripada menafikannya. Ingatlah, Islam adalah agama yang sangat mudah berinteraksi dengan zaman. Apabila zaman berubah, ia tetap serasi dengan Islam. Itulah keindahan Islam, termasuklah dalam pelaksanaan ibadah zakat.

Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah aku memberitahu kepada kamu siapakah ahli-ahli neraka? Mereka itu ialah orang-orang yang keras kepala, sombong, suka mengumpul harta tetapi tidak suka membelanjakan untuk kebaikan,” - Riwayat Bukhari dan Muslim.




Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/zakat-pendapatan-tiada-dalil-1.199158#ixzz5IM83D1lk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Benarkah zakat pendapatan tiada dalil? Benarkah zakat pendapatan tiada dalil? Reviewed by editor on 8:45 AM Rating: 5

No comments