Benarkah Pesakit Di Hospital Johor Bahru Terpaksa Beli Ubat Sendiri?

Telah tular kisah sebahagian pesakit terpaksa membeli ubat sendiri apabila didapati tiada ubat di hospital atas dakwaan hospital kekeringan dana dan tiada wang

Tiada pesakit diarah beli ubat sendiri di HSI - Pengarah Kesihatan

JOHOR BAHRU: Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata hasil siasatan awal pihak Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini mendapati tiada pesakit yang diarahkan untuk membeli ubat sendiri seperti yang ditularkan.

"Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ingin merujuk kepada kenyataan yang ditularkan dalam Facebook bertarikh 3 Jun 2018 yang menyatakan sebahagian pesakit terpaksa membeli ubat sendiri apabila didapati tiada ubat di hospital atas dakwaan hospital kekeringan dana dan tiada wang.

"Bekalan ubat adalah mencukupi dan pesakit diberi ubat mengikut pada ubat-ubatan yang tersenarai di dalam Buku Formulari Ubat Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook JKNJ hari ini.

Dr Selahuddeen berkata pihak HSI telah menghubungi pemilik akaun Facebook terlibat untuk mendapatkan penjelasan dan dimaklumkan beliau hanya mendengar cerita daripada satu pihak dan tidak mengesahkan perkara tersebut dengan HSI.

Beliau berkata JKNJ ingin memberikan kepastian kepada masyarakat bahawa bekalan ubat sentiasa mencukupi dan akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Katanya masyarakat juga diingatkan mendapatkan kepastian daripada pihak JKNJ sebelum menularkan sebarang maklumat berkenaan perkhidmatan kesihatan bagi mengelakkan perasaan gusar dan panik dalam kalangan masyarakat.

-- BERNAMA

Sumber:
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tiada-pesakit-diarah-beli-ubat-sendiri-di-hsi-pengarah-kesihatan-177416
Benarkah Pesakit Di Hospital Johor Bahru Terpaksa Beli Ubat Sendiri? Benarkah Pesakit Di Hospital Johor Bahru Terpaksa Beli Ubat Sendiri? Reviewed by editor on 10:34 PM Rating: 5

No comments