Benarkah Nasi Ganja Jolokan Nasi Bungkus Orang Tidak Puasa?

Beroperasi di Restoran Yong Suan, Jalan Yang Kalsom, Ipoh, popularitinya menjangkau sehingga ke luar negara


Nasi Ganja adalah sejenis nasi kandar yang popular di Ipoh. Terdapat beberapa versi cerita mengapa ia dipanggil sedemikian.

Ada yang mengatakan ia berpunca dari ketagihan penggemar makanan ini maka timbul andaian ia menggunakan rempah tertentu yang digelar sebagai "ganja".

Manakala ada pula yang mengatakan ia sebagai satu istilah bagi makanan nasi campur yang dibungkus dalam plastik hitam dan dijual kepada pembeli pada bulan puasa; berkemungkinan pembelinya tidak berpuasa.

Di bawah adalah artikel yang pernah ditulis berkenaan 'nasi ganja'.

Sedap, murah rahsia 'nasi ganja' digemari

SEDAP dan murah. Dengan hidangan nasi, ayam dan sayur cuma pada harga RM4.80, pelanggan sudah boleh menikmati nasi kandar di Restoran Perniagaan Nasi Kandar Ayam Merah atau lebih dikenali ‘nasi ganja’ di Ipoh yang diakui keenakkan rasanya.

Dua faktor itu merupakan rahsia ‘nasi ganja’ bukan sahaja dapat bertahan sejak memulakan perniagaan di Jalan Yang Kalsom di Ipoh pada 1957, tetapi keenakkannya cukup terkenal. Beroperasi di Restoran Yong Suan, Jalan Yang Kalsom, Ipoh, popularitinya menjangkau sehingga ke luar negara sehinggakan pelancong luar yang datang ke Perak pasti akan mencari nasi ganja.

Pengurus Perniagaan Nasi Kandar Ayam Merah, Mohamed Nihmatullah Syed Mustaffa memberitahu, menjual makanan pada harga yang rendah sudah menjadi prinsip perniagaan keluarganya yang diwarisi daripada datuknya, Kassim Mohamad. Katanya, sewaktu datuknya memulakan perniagaan nasi kandar 60 tahun lalu, hidangan yang sama iaitu nasi, ayam dan sayur cuma berharga RM1.20.

Jelasnya, seiring dengan peningkatan harga barang, harga jualan makanan juga dinaikkan tetapi tidak terlalu tinggi apatah lagi untuk mencecah harga yang tidak munasabah.

“Hari ini, hidangan yang sama cuma RM4.80. Harga ini mula kami kenakan kepada pelanggan sejak enam tahun lalu dan sejak itu walaupun harga barangan naik, harga itu tidak pernah kami dinaikkan.

“Malah buat masa ini kami tidak bercadang untuk menaikkan harga untuk hidangan nasi, ayam dan sayur. Harga RM4.80 akan terus kami kekalkan. Begitupun pelanggan boleh memilih pelbagai jenis lagi lauk-pauk yang lain tetapi harga yang berbeza akan dikenakan,” katanya.

Perniagaan Nasi Kandar Ayam Merah turut menyajikan masakan lain termasuk daging, sotong, hati, limpa, ikan goreng, ikan kari, daging cincang, kambing, hati ayam, pedal, ikan bawal, telur masin dan pelbagai lauk pauk yang lain.

Mohamed Nihmatullah memberitahu, harga makanan yang murah bukan sahaja dapat membantu menjimatkan perbelanjaan para pelanggannya tetapi sebagai menyahut seruan pemimpin termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Kata Mohamed Nihmatullah, Zambry meminta supaya harga makanan dikekalkan supaya nasi tersebut menjadi tarikan pelancong ke Perak. Lebih membanggakan, katanya, nasi ganja bukan sahaja diminati oleh Zambry, tetapi juga pemimpim nombor satu negara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Alhamdulillah, saya gembira kerana Perdana Menteri pun sukakan nasi ganja. Saya terharu apabila Perdana Menteri mengakui keenakkan nasi ganja malah nasi ganja disebut oleh Perdana Menteri ketika beliau membentangkan bajet negara tahun lalu.

“Sedap dan murah. Demikian kata Perdana Menteri. Kami akan mengekalkan label sedap dan murah dalam perniagaan kami seperti yang diberikan oleh Perdana Menteri, kami menghormati pandangan beliau” katanya.

Bercerita mengenai bagaimana perniagaannya mendapat nama gelaran nasi ganja, Mohamed Nihmatullah memberitahu, pada asalnya, perniagaannya dikenali oleh penduduk setempat sebagai ‘nasi vanggey’ Katanya, ia mendapat nama apabila pelayan restoran memanggil pelanggan yang datang ke restoran dalam bahasa Tamil, iaitu ‘vanggey’ yang bermaksud ‘mari-mari’.

Jelasnya, nama ‘nasi ganja’ mula popular apabila pelanggan dikatakan rasa mengantuk selepas makan malah ada yang mengatakan ketagih untuk makan nasi kandar di restoran itu. “Disebabkan makanan kami digelar ‘nasi ganja’ restoran kami pernah diperiksa oleh pihak berkuasa tempatan, mungkin disyaki makanan kami bercampur dengan ganja,” katanya.

Katanya, dia tidak menggunakan bahan terlarang dalam memastikan makanannya enak. Sebaliknya, dedah beliau, masakannya enak kerana resepi rahsia diwarisi daripada keluarga juga teknik masakan selain rempah ratus yang digunakan.

Katanya, rempah ratus yang digunakan digiling, bukannya dikisar manakala nasi yang dimasak menggunakan periuk tembaga yang menghasilkan rasa yang lebih sedap berbanding jika dimasak menggunakan periuk nasi biasa.

“Mungkin sebab itu pelanggan rasa seperti mengantuk selepas makan,” katanya. Dalam pada itu, meskipun perniagaannya amat dikenali, Mohamed Nihmatullah menegaskan, dia tidak bercadang untuk membuka cawangan di tempat lain termasuk di luar Perak.

Dia mengakui banyak pihak yang membuat tawaran untuk membuka cawangan nasi ganja di tempat lain. Jelasnya, keputusan tidak mahu membuka cawangan di tempat lain disebabkan tidak mahu keenakan masakannya terjejas.

“Selain itu kami mahu menjadikan nasi ganja ini sebagai jenama eksklusif untuk negeri Perak sahaja. Jika mahu menikmati nasi ganja, datanglah ke Perak, tiada di tempat lain,” katanya.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/rencana/utama/sedap-murah-rahsia-nasi-ganja-digemari-1.506101
Benarkah Nasi Ganja Jolokan Nasi Bungkus Orang Tidak Puasa? Benarkah Nasi Ganja Jolokan Nasi Bungkus Orang Tidak Puasa? Reviewed by editor on 11:59 AM Rating: 5

No comments