Benarkah Hadi Awang Akui Dr M Kingmaker Walaupun PPBM Punyai 13 Kerusi Sahaja?

Siapa yang kuasai undi umat Islam, dia yang kuasai negara

PPBM hanya menang 13 kerusi, tetapi Hadi akui Dr M ‘kingmaker’


PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui Tun Dr Mahathir Mohamad ialah “kingmaker” sebenar dalam pilihan raya umum lalu, walaupun PPBM yang diketuainya hanya memenangi 13 kerusi Parlimen.

Presiden PAS itu bagaimanapun berpuas hati kerana parti Islam itu menang di 2 negeri dan masih boleh “bersuara” di peringkat pusat.

“Kita dapat kembali Kelantan dan Terengganu, dan hampir berjaya di Kedah. Walaupun kita tidak berjaya jadi ‘kingmaker’, Dr Mahathir yang jadi ‘kingmaker’ dengan hanya 13 kerusi.

“Namun, PAS dapat menghantar suara melalui wakil di beberapa negeri seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor.

“Di peringkat negeri, kita masih jadi ‘kingmaker’, namun di peringkat pusat, kita sedar dan akur,” katanya dalam wawancara bersama Astro Awani yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, PAS hanya memenangi 18 daripada 158 kerusi Parlimen yang ditandinginya di seluruh negara, berbanding Pakatan Harapan (PH) yang memenangi 121 kerusi Parlimen dan BN (79 kerusi Parlimen).

Bulan lalu, Hadi dilaporkan berkata, PAS optimis mampu memenangi 40 kerusi Parlimen dalam PRU14 dan memperbaiki pencapaian pada PRU13.

Katanya, PAS juga akan membuka pintu bergabung dengan mana-mana parti yang sedia memartabatkan Islam dan melaksanakan keadilan untuk rakyat secara keseluruhan.

“Kita berharap PAS akan menjadi ‘kingmaker’, dihubungi semua pihak yang tubuh kerajaan. Itu minima yang kita nak usahakan daripada 160 kerusi,” kata ahli Parlimen Marang itu.

Hari ini, Hadi berkata, PAS masih mempunyai kekuatan kerana parti Islam itu mendapat lebih 2 juta undi pada PRU14.

“Inilah ukuran kekuatan kita yang saya rasakan PAS masih kuat, namun sistem pilihan raya ini masih mengikut sistem British dan tidak mengikut sistem peratus.”

Katanya, walaupun PH mempunyai majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan persekutuan, tetapi undi yang dimenangi wakil rakyat beragama Islam masih rendah.

“Siapa yang kuasai undi umat Islam, dia yang kuasai negara dan itu yang ada pada Umno dahulu. Sekarang ini sudah berubah.

“PH tidak dapat kuasai undi umat Islam di dalam negara, dengan hanya mencapai 58 kerusi dan yang bukan Islam capai 66 kerusi,” katanya.

Bagi Hadi, situasi ini menyebabkan berlaku ketidakseimbangan dan kerajaan PH bertanggungjawab menyelesaikan kedudukan majoriti umat Islam di negara ini.


Sumber:
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/28/ppbm-hanya-menang-13-kerusi-tetapi-hadi-akui-dr-m-kingmaker/
Benarkah Hadi Awang Akui Dr M Kingmaker Walaupun PPBM Punyai 13 Kerusi Sahaja? Benarkah Hadi Awang Akui Dr M Kingmaker Walaupun PPBM Punyai 13 Kerusi Sahaja? Reviewed by editor on 5:30 PM Rating: 5

No comments