Benarkah China Akan Hapuskan Polisi "Satu Anak" Rakyatnya?

Keputusan untuk membatalkan had bilangan anak ini juga merupakan satu usaha untuk mengatasi masalah pertambahan populasi penduduk tua China yang semakin pesat

Benarkah China sedang mempertimbangkan penghapusan polisi had saiz keluarga?


Pada hari Isnin 21 Mei 2018, Bloomberg melaporkan bahawa majlis negara China telah mengarahkan satu penyelidikan dijalankan terhadap impak pembatalan secara total bagi had bilangan anak yang boleh dimiliki oleh sesebuah keluarga warganegara China. Laporan ini memetik sumber-sumber tanpa nama yang terlibat dengan perbincangan kerajaan tersebut. Keputusan mengenai hal ini dikatakan akan dibuat pada suku keempat tahun ini atau pada 2019. Selepas laporan itu diterbitkan, saham syarikat China yang membuat dan menjual produk bayi didapati telah meningkat, menurut The Guardian bertarikh 22 Mei 2018.

Selepas hampir 40 tahun dasar "satu anak" China yang melarang keluarga warganegara China mempunyai lebih daripada satu anak dilaksanakan, kerajaan telah melonggarkan dasar tersebut pada tahun 2015 untuk membenarkan mereka memiliki dua orang anak. Tetapi kajian pada tiga tahun selepas itu menunjukkan bahawa kadar kesuburan rakyat China kekal sebagai salah satu yang paling rendah di dunia, iaitu pada 1.24 kelahiran setiap wanita, di bawah kadar jangkaan 1.63. Malah, bilangan kelahiran telah jatuh 4% dari tahun sebelumnya.

Keputusan untuk membatalkan had bilangan anak ini juga merupakan satu usaha untuk mengatasi masalah pertambahan populasi penduduk tua China yang semakin pesat di samping mengurangkan kritikan global mengenai dasar perancangan keluarga yang telah lama diamalkan. Masalah sistem tenaga kerja dan sistem kebajikan sosial yang semakin menyusut untuk menyokong populasi yang semakin tua, yang secara tradisinya bergantung pada anak-anak mereka untuk menjaga mereka pada usia tua, juga dihadapi oleh negara tersebut. Had pada kanak-kanak juga telah menimbulkan ketidakseimbangan daripada segi jantina, yang mana China mempunyai kira-kira 30 juta lelaki lebih ramai berbanding wanita.

Namun begitu, rancangan pembatalan had bilangan anak saja mungkin masih tidak mencukupi. Setelah kerajaan China membenarkan pasangan suami isteri mempunyai dua orang anak pada 2015, didapati tidak ramai keluarga yang telah memilih untuk mempunyai lebih daripada seorang anak. Ini kerana terdapat juga isu-isu lain yang tidak menggalakkan pasangan suami isteri daripada mempunyai lebih ramai anak seperti kos perumahan dan pendidikan yang mahal serta kurang kemudahan cuti bersalin yang mendapat sokongan kerajaan untuk para ibu bekerja.

Rujukan:
1. https://www.bloomberg.com/news/articles/2018-05-21/china-said-to-consider-ending-birth-limits-as-soon-as-this-year
2. https://www.aastocks.com/en/stocks/news/aafn-content/NOW.874248/china-policy
3. https://www.theguardian.com/world/2018/may/22/chinese-government-considering-scrapping-limits-on-family-size
4. https://amp.theguardian.com/world/2018/may/26/china-shows-little-appetite-for-lifting-of-family-size-limit

Sumber-sumber lain:
a) https://amp.theguardian.com/world/2017/jan/23/chinas-birth-rate-soars-after-relaxation-of-one-child-policy
b) https://amp.theguardian.com/world/datablog/2015/oct/29/impact-china-one-child-policy-four-graphs
Benarkah China Akan Hapuskan Polisi "Satu Anak" Rakyatnya? Benarkah China Akan Hapuskan Polisi "Satu Anak" Rakyatnya? Reviewed by editor on 11:19 PM Rating: 5

No comments